Ramai pelajar
mahu mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan samada peperiksaan
tahunan, PT3, SMA, SPM, STAM atau STPM. Walaupun ramai yang berkeinginan untuk
cemerlang hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya mendapat kecemerlangan
apabila keputusan diumumkan. Kenapa ini berlaku? Adakah ianya disebabkan factor
IQ atau ianya lebih disebabkan oleh tahap usaha yang dilakukan sebelum
menduduki peperiksaan? Sebenarnya untuk cemerlang ada rahsianya. Rahsia yang
perlu diketahui oleh pelajar-pelajar untuk cemerlang ini perlu diamalkan dalam
pembelajaran mereka. Jika mereka tahu rahsia tetapi tidak mengamalkannya ianya
tetap akan menjadi sia-sia dan tetap tidak akan dapat menjana kecemerlangan
yang diinginkan. Mari kita lihat 13 rahsia yang perlu dikupas dan seterusnya
diamalkan oleh pelajar-pelajar yang nekad untuk berjaya.
1. Matlamat atau sasaran
Pelajar yang mahu cemerlang perlu mempunyai
matlamat dan sasaran yang jelas dalam pembelajaran mereka. Mereka perlu
menetapkan sasaran untuk mereka capai dalam pembelajaran mereka dan seterusnya
berusaha sedaya upaya untuk mencapai sasaran tersebut. Contohnya tetapkan
sasaran untuk mendapat berapa A dalam peperiksaan yang akan datang. Sasaran ini
mestilah mampu untuk mencabar diri dan memberikan mereka semangat untuk
berjuang mendapatkannya. Jangan meletakkan sasaran yang terlalu rendah kerana
ini tidak akan meningkatkan motivasi mereka bahkan menyebabkan mereka tidak
meningkatkan usaha yang sedia ada untuk mencapainya. Matlamat pembelajaran pula
merupakan sebab kenapa mereka mahu cemerlang. Contohnya belajar untuk membela
nasib keluarga untuk keluar dari kemiskinan, atau untuk memastikan masa depan
mereka akan lebih terjamin, atau untuk memastikan mereka boleh membela nasib
agama, bangsa atau Negara. Matlamat yang ditetapkan mestilah relevan dengan
diri pelajar agar ianya menjadi lebih bersifat peribadi atau personal.
2. Percaya
Pelajar perlu percaya kepada kemampuan diri
mereka untuk mencapai kecemerlangan. Kepercayaan dan keyakinan bahawa diri
mampu untuk mencapai kecemerlangan akan meningkatkan semangat pelajar untuk
terus berusaha membaiki kelemahan diri mereka dalam subjek-subjek yang mereka
hadapi. Seterusnya kepercayaan ini akan membolehkan mereka sanggup berkorban
untuk mencapai kecemerlangan tersebut, contohnya mampu untuk mengorbankan
kesenangan sementara yang selalu melalaikan pelajar seperti bersosial secara
melampau atau membazirkan masa dengan permainan video game yang akan mengambil
banyak masa mereka yang sepatutnya digunakan untuk belajar.
3. Tumpuan
Tumpuan sebenarnya akan membantu pelajar
untuk lebih mudah mengingat dan memahami. Tumpuan merupakan salah satu fungsi
minda untuk memilih maklumat yang penting dan mengarahkan minda kita untuk
mengingat dan memahami. Contohnya jika pelajar memberi tumpuan dalam kelas
semasa guru sedang mengajar, mereka akan lebih mudah mengingat dan memahami apa
yang sedang diajar dan ingatan akan menjadi lebih lama kerana tiada gangguan
daripada maklumat-maklumat yang tidak penting contonya percakapan dari kawan sebelah.
Tumpuan jika diberikan pula semasa ulangkaji akan dapat menumpukan minda kepada
perkara yang sedang diulangkaji. Jadi pelajar mesti tahu cara untuk memberi
tumpuan dan mengamalkannya semasa proses pembelajaran.
4. Perancangan
Pelajar yang mahu cemerlang perlu mempunyai
perancangan belajar yang teratur dan sistematik dan berusaha untuk mematuhinya.
Mereka perlu memanfaatkan masa secara optimum dan sebaik-baiknya. Gunakanlah
masa dengan sebaik-baiknya dan elakkan pembaziran masa. Pelajar perlu menetapkan
prioriti dalam hidup mereka untuk mencapai kecemerlangan. Mereka juga perlu
memantau tahap kemajuan dan penguasaan pelajaran mereka. Setiap kertas
peperiksaan yang lepas mesti dilakukan post mortem untuk menentukan kelemahan
mereka dan seterusnya membaiki kelemahan tersebut untuk peperiksaan seterusnya.
Ataupun jika mereka menjawab kertas-kertas latihan contohnya soalan-soalan
tahun lepas, selepas mendapat markah mereka, mereka perlulah melakukan post
mortem untuk mencari dan membaiki kelemahan mereka dalam menjawab soalan-soalan
itu dan membaiki kelemahan tersebut sebelum menjawab set soalan yang lain pula.
Lakukannya secara sistematik dan teratur.
5. Strategi Belajar
Strategi belajar yang berkesan dan teknik
belajar yang mantap perlu diamalkan oleh pelajar untuk berjaya. Teknik belajar
seperti teknik mengingat dan teknik mengambil nota yang berkesan adalah
diperlukan untuk menjadikan pembelajaran lebih berkesan. Pelajar juga sebaik-baiknya
belajar dalam kumpulan yang boleh menjadikan sesi pembelajaran lebih seronok
dan menjimatkan masa kerana banyak input boleh dikongsikan oleh ahli-ahli
kumpulan. Pembelajaran bersama rakan sebaya juga boleh membantu menyelesaikan
banyak ketidak fahaman terhadap sesuatu topic kerana setiap ahli kumpulan pasti
akan mempunyai kelebihan masing-masing dalam topic atau subjek tertentu.
6. Menjaga Masa
Masa adalah satu factor yang perlu dijaga
oleh pelajar-pelajar yang ingin cemerlang. Adalah digalakkan untuk pelajar
tidak menunggu ke saat terakhir untuk mengulangkaji. Pelajar perlu mempunyai
jadual harian dan jadual belajar untuk mengelakkan pembaziran masa berharga
berlaku. Jadual harian merujuk kepada jadual aktiviti pelajar sepanjang hari
seperti aktiviti sekolah, tuisyen, ulangkaji, rehat, bermain dan berkawan.
Jadual belajar pula merujuk kepada jadual khas yang digunakan untuk merancang
pembelajaran pelajar seperti subjek apa yang mahu dipelajari, bab berapa,
berapa lama masa belajar, berapa banyak yang mahu dibaca dan sebagainya.
Kepatuhan kepada jadual yang telah ditetapkan dari awal lagi pasti akan
mengelakkan stress apabila hampir ke tarikh peperiksaan.
7. Pergaulan
Pelajar yang cemerlang biasanya
berbaik-baik dengan semua orang yang boleh mengelakkan stress disebabkan
konflik social. Walau bagaimanapun, pelajar cemerlang biasanya mempunyai hanya
beberapa rakan karib yang berkongis matlamat dan saling bantu membantu antara
satu sama lain untuk mencapai matlamat yang dikongsi bersama. Perkongsian ilmu
Antara mereka boleh menjimatkan masa belajar, meningkatkan kefahaman dan juga
ingatan.
8. Pemantauan
Pelajar yang cemerlang sentiasa
memantau prestasi mereka sendiri dan menjalankan post mortem untuk mencari
kelamahan mereka secara berkala dan sistematik. Mereka juga tahu cara untuk
memperbaiki kelemahan mereka contohnya dengan merujuk kepada bahan rujukan yang
ada atau bertanya kepada guru. Mereka tidak menangguhkan masa untuk
menyelesaikan setiap masalah atau ketidak fahaman yang mereka hadapi.
9. Hubungan Baik Dengan Guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga
hubungan baik mereka dengan guru dan tidak segan untuk berjumpa dan bertanya
kepada guru untuk menyelesaikan masalah atau ketidak fahaman mereka. Mereka
tahu apa yang hendak ditanya dan cara memanfaatkan khidmat guru kepada mereka.
Walau bagaimanapun mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada guru dimana mereka
juga boleh berdikari untuk meningkatkan sendiri penguasaan mereka terhadap
sesuatu subjek.
10. Konsisten & Istiqomah
10. Konsisten & Istiqomah
Pelajar yang cemerlang sentiasa konsisten dan
istiqomah dalam belajar. Mereka sentiasa stabil dalam kerajinan mereka dalam
belajar bukannya sekejap rajin dan sekejap malas. Mereka akan belajar secara
berterusan dan mampu melawan perasaan malas mereka. Ini biasanya akan berlaku
jika mereka sentiasa ingat mengenai matlamat dan sasaran yang mereka telah
tetapkan dan mampu memberi semangat kepada diri mereka sendiri. Ini adalah
salah satu kepentingan untuk mempunyai kumpulan belajar yang menetapkan sasaran
yang sama, dimana ahli kumpulan akan saling memberi semangat dan peringatan
kepada ahli kumpulan yang lain. Istiqomah bermaksud mereka akan cuba untuk
mencapai sasaran yang telah mereka tetapkan dalam jadual pembelajaran mereka,
contohnya dalam sehari mereka telah menetapkan untuk menjawab 50 soalan
objektif berkaitan subjek-subjek tertentu dan mereka akan sedaya upaya mereka
akan memenuhi sasaran tersebut
11. Persistent
Persistent bermaksud pelajar yang cemerlang
tidak akan berputus asa untuk menyelesaikan sebarang masalah atau ketidak
fahaman mereka dalam pembelajaran mereka. Mereka akan berusaha sedaya upaya
untuk menyelesaikan masalah mereka mungkin dengan cara bertanya kepada mereka
yang lebih faham contohnya rakan-rakan mereka ataupu guru mereka. Mereka juga rajin membuat
rujukan samada menggunakan buku rujukan, buku teks atau melalui internet
12. Sanggup berkorban
Pelajar yang cemerlang sanggup
mengorbankan keseronokan mereka bersosial untuk belajar. Mereka sanggup
meninggalkan aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain game, berhibur dan
bersosial dengan kawan-kawan. Mereka belajar lebih lama berbanding kawan-kawan
mereka, lebih gigih, lebih bersungguh-sungguh. Mereka juga sanggup
membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan buku-buku rujukan, tuisyen dan
bahan-bahan tambahan yang boleh membantu mereka dalam pelajaran mereka. Mereka
juga mengelakkan diri dari terlibat dalam cinta monyet yang akan melalaikan
mereka.
13. Agama nombor Satu
Bagi pelajar yang beragama Islam
mereka faham akan konsep belajar sebagai satu ibadah. Mereka juga sedar akan
kepentingan mendapat redha ibubapa dan guru mereka untuk mendapatkan keberkatan
dalam pelajaran. Mereka melaksanakan ibadah harian yang ditetapkan oleh agama
dan sentiasa berdoa supaya kehidupan mereka sentiasa diberkati dan diberikan
kejayaan oleh ALLAH. Mereka berpegang pada konsep tawakkal yang sebenar iaitu
berusaha dan berdoa dalam pembelajaran mereka.
rujukan:
Tengku Asmadi PhD. Motivasi Alihan Pelajar. PTS Milennia SDN.BHD. 2015